KUALA LUMPUR 2 Mei - Pas diseru menyahut seruan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak supaya meninggalkan pakatan pembangkang yang dilihat langkah tepat demi perpaduan bangsa dan agama.
Presiden Gagasan Melayu Perak (GMP), Datuk Seri Mohd. Hilmi Ismail berkata, tindakan itu juga yang terbaik untuk Pas berbanding terus bersama pakatan pembangkang yang ternyata lebih menguntungkan DAP.
"GMP meminta Pas menyahut seruan Perdana Menteri demi bangsa dan agama. Kami bersedia memainkan peranan bagi melihat Pas keluar daripada pakatan pembangkang dan bekerjasama dengan UMNO.
"Kita dapat lihat bagaimana kerjasama dalam parti pembangkang hanya menguntungkan DAP seperti yang dilihat semasa Pilihan Raya Negeri Sarawak Ke-10 lalu. Takut-takut nanti, menang sorak, kampung tergadai," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini semalam.
Tambah Hilmi, mesej serius yang disampaikan oleh Perdana Menteri kepada Pas adalah disebabkan keputusan Pilihan Raya Negeri Sarawak yang perlu dilihat dengan teliti demi bangsa, agama dan negara.
Semalam, Perdana Menteri menyatakan Pas tidak akan memperoleh apa yang dicita-citakan selama ini dan kerjasama dengan parti pembangkang lain hanya memberi keuntungan kepada DAP.
Menurut Najib, pemimpin Pas perlu menerima kenyataan bahawa mereka mesti keluar daripada pakatan pembangkang jika benar-benar berjuang untuk kepentingan agama Islam.- Utusan
No comments:
Post a Comment