KANGAR 19 Mei - Menteri serta pemimpin di peringkat akar umbi perlu mengamalkan pendekatan yang boleh memberi kesan di hati rakyat iaitu mendengar masalah mereka dan mencari jalan menyelesaikannya.
Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, pemimpin berkenaan perlu lebih kerap turun padang bagi mendengar dan memberi respons terhadap perkara yang dibangkitkan rakyat.
"Rakyat mengharapkan sesuatu yang boleh menambah baik kehidupan mereka. Dengar perkara yang dibangkitkan dan cari jalan untuk mengatasinya.
"Ia tidak semestinya melibatkan perbelanjaan besar seperti menziarah orang meninggal dunia, melawat orang sakit, menghadiri kenduri kahwin, membantu mendapatkan rawatan untuk rakyat dan membuat kerja kebajikan. Ia boleh menyentuh perasaan mereka (rakyat)," katanya.
Beliau berkata demikian selepas berucap kepada lebih 5,000 penduduk pada Program Turun Padang Timbalan Perdana Menteri ke Perlis, di sini, hari ini.
Mengenai tindakan Pendaftar Pertubuhan (ROS) yang dikatakan mungkin membatalkan pendaftaran Parti Keadilan Rakyat (PKR) kerana parti itu didakwa telah melanggar peraturan sendiri, beliau berkata, mana-mana pertubuhan atau persatuan yang gagal mematuhi peraturan ditetapkan oleh ROS wajar dikenakan tindakan.
"Apa sahaja pertubuhan, persatuan atau parti politik yang tidak mematuhi atau memenuhi syarat, maka sewajarnya ROS ambil tindakan.
"UMNO pernah diharamkan dahulu. Banyak juga persatuan yang terpaksa dibatalkan kerana tidak mengikut kehendak seperti tidak mengadakan mesyuarat agung dan tidak menghantar laporan," katanya.
No comments:
Post a Comment