Followers

Monday, March 28, 2011

Pesta Sungai Pahang akan dinaik taraf

Pesta Sungai Pahang akan dinaik taraf

MARAN 28 Mac - Kerajaan negeri bercadang menaik taraf pesta Sungai Pahang sebagai aktiviti tahunan bagi memberi kesedaran kepada masyarakat mengenai kepentingan menjaga sumber alam itu daripada tercemar.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Hal Ehwal Felda negeri, Datuk Tan Mohd. Aminuddin Ishak (gambar) berkata, langkah tersebut bagi memastikan penduduk dan pengunjung luar menghargai keunikan sungai itu yang mempunyai tarikan tersendiri.
"Pada masa sama kita berharap program itu memberi daya tarikan bagi menarik lebih ramai pelancong ke negeri ini," katanya kepada Utusan Malaysia di sini, baru-baru ini.
Katanya, program yang dianjurkan oleh Majlis Belia Daerah Maran mendapat pengiktirafan daripada Kementerian Pelancongan dan dimuatkan sebagai salah satu aktiviti tahunan kementerian tersebut.
Bagi Ahli Parlimen Maran, Datuk Ismail Abdul Muttalib yang juga penduduk asal Kampung Pantai Chenor mengakui gembira menyaksikan pesta itu yang memberi hiburan kepada penduduk.
Katanya, jika dahulu pada tahun 1950-an dan 60-an, program seperti itu sentiasa dinantikan oleh rakyat kerana menjadi satu hiburan kepada mereka.
Jelasnya, program itu secara tidak langsung mempromosikan Sungai Pahang sebagai khazanah dan warisan negeri yang perlu dihargai oleh generasi baru.
Dalam pada itu seorang pengunjung, Norhasmimi Abdul Ghani berpendapat, langkah yang dilakukan oleh MBDM dapat memupuk semangat kekitaan dan kerjasama di kalangan masyarakat sekitarnya.
Katanya, acara seperti itu berpotensi untuk dijadikan sebagai program negeri atau nasional dengan menjemput peserta luar Pahang menyertai beberapa aktiviti yang diadakan di sungai tersebut. Utusan Malaysia 2932011

No comments:

Post a Comment